Zaila Menulis

Bacalah dan tulislah.


Siri Bersembang Dengan Mak

Mak ayah aku dah tiada. Syukur Allah kurniakan suami yang masih ada mak ayah, jadi dapatlah aku menumpang kasih sayang.

Mula-mula kekok jugalah nak terima tapi alhamdulillah dah hampir 10 tahun ni, syukur sangat Allah bagi kesihatan yang baik untuk kedua-dua mentua aku.

Bapa mentua yang aku panggil abah, masih sihat dan aktif cara usia 60-an lah. Ada kencing manis tapi masih terkawal, alhamdulillah.

Mak mentua aku panggil mak. Ada lah sikit darah tinggi, itu pun alhamdulillah terkawal juga. Cuma mak ada masalah di kaki. Tulang kaki retak tapi tak dirawat awal, maka bengkak jadinya. Jadi mak tak boleh berdiri atau berjalan lama. Nanti bengkak dan sakit pada buku lali.

Dulu-dulu, masa ayah masih ada, biasalah call tanya khabar. Kadang-kadang bukan nak tanya apa pun, nak dengar suara saja. Tanya makan apa, buat apa. Begitulah.

Rindu nak bersembang dengan orang tua kita.

Jadi asbab perasaan itu, biarpun ayah dah tak ada, aku masih ada mak dan abah. Jadi, aku salurkan rasa rindu nak bersembang di telefon dengan mak.

Nak mulakan ni dah lama tapi aku teragak-agak. Sampailah satu masa, aku buat saja biar sampai jadi tabiat, aku nak telefon mak hari-hari walaupun pada dasarnya tak ada apa pun.

Iyalah menantu mungkin pelik sikitlah tapi tak apalah. Aku anggap je jadi wakil kepada suami tanya khabar mak abah.

Aku putuskan untuk call mak suatu hari tu, untuk tanya resipi ayam goreng rangup di luar, lembut berjus di dalam.

Resipi adik ipar, tapi aku memang saja nak tanya pada mak, sebab mak yang cerita kat aku dulu. Kira ada point la nak call mak, kan.

Sejak hari tu, aku akan cuba selit masa untuk call mak.

Pernah sekali, call mak katanya di klinik. Abah pening kepala hari sebelumnya, mak yang lama sakit telinga pun sama check up.

Kalau tak call… tak tahu yang abah tak berapa sihat dan sakit telinga mak tu masih berlarutan.

Begitulah hari seterusnya, cerita berkisar resipi, aktiviti dan macam-macam.

Semoga aku istiqomah. Biarpun benda kecil tapi impaknya besar pada aku.

Aku tak mahu mak rasa sunyi. Dan aku juga harap jika aku panjang umur, anak aku pun berhubung dengan aku hari-hari nanti.



Leave a comment

Design a site like this with WordPress.com
Get started