“Nanti akak ikut design yang macam saya bagi tu ya.”
“Boleh, akak cuba.”
Terasa lega dapat mereka sendiri design untuk cover depan dan belakang booklet al-Mathurat mengikut citarasa sendiri. Biarlah booklet yang tak seberapa ini menjadi hadiah yang bermakna dan mendatangkan manfaat, sekaligus melimpahkan kebahagiaan dan kesejahteraan kepada ikatan yang akan terbina.
Selepas seminggu, draf design diterima. Dengan sedikit pembetulan, akhirnya booklet al-Mathurat yang direka khas untuk majlis resepsi perkahwinan saya siap dan sedia diedarkan.
Kini, setelah hampir 9 tahun, apabila terpandang booklet al-Mathurat itu, hati saya berbunga-bunga, apatah lagi apabila membaca Doa untuk Pengantin.
“Dari setinggi dan seluas kasih sayang-Mu, Kau limpahkan rahmat jua keampunan-Mu kepada pasangan pengantin ini . Sesungguhnya pertemuan ini adalah dengan izin-Mu, kurniakanlah keduanya ketenangan, kebahagiaan dan jiwa yang tabah menghadapi setiap duugaan-Mu. Mudah-mudahan perkongsian hidup yang dibina berkekalan hingga ke akhir usia dan kurniakanlah kepada mereka zuriat yang soleh dan solehah. Dengan taufik dan hidayah-Mu beruntunglah keduanya dalam kehidupan di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Amin ya rabbal alamin.”
Doa yang saya kira sangat bermakna untuk kami berdua memulakan sebuah perjalanan yang baharu. Menumpang berkat mereka yang mendoakan, semoga ikatan perkahwinan yang dibina kukuh dan tahan daripada rintangan yang mendatang.
Lebih mengharukan apabila seorang sepupu berkata yang dia masih menggunakan booklet al-Mathurat yang dihadiahkan sehingga kini.
Setiap kali saya memandang doa ini, berkali-kali juga saya akan mengulang baca dan tidak dapat tidak mengimbau kenangan semasa majlis resepsi. Antara momen paling bahagia bagi sesiapa sahaja. Jadi itulah penguat untuk terus melayari hidup rumah tangga yang mencabar dan menuntut tanggungjawab yang tidak sedikit.
Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Puan Fazlina yang banyak membantu merealisasikan hajat saya untuk menghadiahkan al-Mathurat, iaitu himpunan doa dan zikir yang dinukil daripada Nabi dan disusun oleh As-Syahid Imam Hassan Al Banna ini sebagai kenangan majlis perkahwinan saya.
Leave a comment